Anak yang hilang
Oleh Hishamuddin Rais
Saya terbaca di akhbar berita tentang kehilangan Yin, budak lelaki yang baru berumur 5 tahun. Yin diberitakan hilang minggu lalu di gedung membeli-belah Sogo. Saya tidak memiliki anak. Saya hanya memiliki anak-anak kucing. Pernah anak kucing saya hilang - berbulan-bulan saya sedih. Bayangkan hati seorang ibu yang kehilangan anak. Saya dapat merasakan betapa sedihnya si ibu, si ayah, anak beranak, kaum keluarga anak kecil yang hilang ini.
Pada tahun 1957 ketika saya dalam darjah satu, daerah Jelebu telah dikejutkan dengan berita kehilangan seorang anak lelaki berumur tiga tahun. Abang budak yang hilang ini sedarjah dengan saya. Jadi setiap hari kami dalam kelas mendengar cerita-cerita perkembangan dari mulut abang budak ini sendiri.
Rumah kawan sedarjah saya ini terletak di pinggir pekan Kuala Klawang berhampiran dengan panggung wayang Ruby Theater. Ayah mereka bekerja dengan National Electricity Board - nama Tenaga Nasional pada zaman itu. Mengikut cerita abangnya - si adik sedang bermain di luar rumah ketika ibu sedang berkemas dalam rumah. Kakak dan abang semua di sekolah. Apabila ibunya selesai berkemas budak kecil ini telah hilang ghaib.
Berita ini telah menjadikan daerah Jelebu yang kecil itu heboh. Banyak cerita dan teori yang keluar dari pelbagai punca. Seperti biasa, mengikut abang budak yang hilang, khidmat Tok Bomoh juga telah dipanggil. Malah Tok Batin Orang Asli juga telah datang membantu. Saya mendengar banyak cerita. Ada yang mengatakan yang anak kecil ini telah diambil Orang Bunian dan kini telah menjadi anak angkat. Ada juga yang mengatakan bahawa anak kecil ini telah diambil oleh Benggali yang memerlukan kepala budak untuk membuat jambatan agar jambatan ini kukuh dan tidak runtuh.
Di belakang panggung wayang berhampiran dengan rumah kawan saya ini ialah sungai Klawang. Lalu timbul teori yang menjangkakan kemungkinan anak kecil ini terjatuh ke dalam sungai. Lalu pihak polis memberikan khidmat yang terpuji. Empangan di hulu sungai ditutup untuk mengurangkan air. Kemudian pegawai polis turun berakit menyisir tebing-tebing sungai. Berbatu-batu polis ke hilir sungai. Semuanya gagal. Tidak ditemui mayat anak kecil ini.
Kami sedarjah yang pada ketika itu terlalu kecil untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku. Dari semua cerita yang saya dengar, yang paling menakutkan kami anak-anak sekolah pada zaman itu ialah kesah Benggali datang dengan sabit untuk memotong kepala anak-anak kecil. Dari mana punca ‘urban legend’ ini tidak pula saya tahu. Kami hanya menerima semua ini sebagai hadith saheh.
Tetapi arwah ibu saya yang rasional menolak semua cerita-cerita dongeng dan karut ini. Ibu saya menerangkan bahawa anak kecil ini telah diculik. Bukan untuk tebusan tetapi untuk dijual atau ada orang yang memerlukan anak. Menurut ibu saya , rumah kawan saya berhampiran dengan panggung wayang, ini memungkinkan ramai orang lalu lintas. Si anak boleh dicekup dengan senang sekali tanpa disedari. Anak kecil ini pula anak lelaki. Menurut arwah ibu saya, masyarakat Cina amat menyukai anak lelaki berbanding dengan anak perempuan.
Tiga tahun dahulu saya juga ada membaca tentang kehilangan seorang anak kecil di kawasan membeli-belah di Chow Kit. Ini berlaku beberapa hari sebelum Hari Raya. Anak kecil ini terhilang dalam kesibukan orang ramai yang sedang membeli-belah. Saya tidak ada membaca susulan berita seterusnya untuk mengetahui apa yang terjadi kepada anak yang hilang di Chow Kit ini.
Orang hilang ini bukan satu pekara yang baru untuk kita semua. Ianya telah banyak terjadi dan pasti kes saperti Yin ini akan terus berlaku. Apa yang berbeza hanyalah laporan media dengan bantuan teknoloji yang lebih meluas pada masa ini berbanding dengan apa yang berlaku di Jelebu pada tahun 1957 dahulu.
Malah, untuk orang yang berumur seperti saya ini pasti akan teringat dengan kes kehilangan Raja Sutera Jim Thompson pada tahun 1967. Kehilangan Jim Thompson ini berlaku di Bukit Cameron. Thomson tuan empunya kilang sutera dari Thailand ini telah datang bercuti di Bukit Cameron. Pada satu petang dia telah meninggalkan rumah tumpanganya untuk bersiar-siar. Hingga ke hari ini tidak diketahui apa yang terjadi kepada Raja Sutera ini dan ke mana dia menghilang.
Kini gambar Yin telah dipaparkan di akhbar dan kaca tv. Angka talipon untuk menghubungi keluarga juga telah terpampang dalam media. Ibu dan ayah pula telah menyebar salinan gambar Yin untuk tatapan orang ramai. Semua ini tidak berlaku ketika adik kepada kawan sedarjah saya itu hilang. Malah kehilangan Yin di Sogo sebuah gedung terkenal di Kuala Lumpur menjadikan – cerita budak hilang – ini terus menjadi bahan hangat untuk media.
Saya tidak tahu apakah teori yang di miliki oleh pihak polis kita tentang kehilangan kanak-kanak seperti ini. Saya juga tidak mengetahui statistik kehilangan kanak-kanak dalam negara kita ini. Ketika saya di Eropah dahulu saya mengetahui bahawa memang ramai orang yang hilang. Di United Kingdom polis memiliki dasar - jika orang yang hilang itu orang dewasa maka pihak polis tidak meletakkan di puncak siasatan, kecuali ada kes jenayah. Menurut polis kota London orang dewasa ada yang hilang kerana pilihan sendiri. Tetapi jika yang hilang kanak-kanak atau remaja muda maka seluruh tenaga akan ditumpukan.
Ada satu pekara yang saya lihat dimana ibu bapa di Eropah lebih waspada dalam hal penjagaan anak di kawasan orang ramai. Mereka sedar anak-anak kecil memiliki naluri ingin tahu yang cukup tinggi. Anak-anak kecil ingin melihat dan terpegun hairan tentang apa sahaja. Di kota yang sibuk atau ketika memasuki gedung membeli-belah atau semasa menghadari konsert atau pesta, si anak kecil dibiarkan berjalan bebas untuk mengalamai satu dunia yang baru. Cuma yang berbeza anak-anak ini diikat badannya dengan tali yang boleh terus memanjang. Anak-anak ini bergerak bebas tetapi masih terikat dengan ibu atau ayahnya. Mungkin ada yang menganggap anak kecil diperlakukan seperti anjing tetapi untuk saya, ini adalah lebih selamat.
Dalam kota besar seperti Kuala Lumpur ini saya sering melihat ibu dan anak berjalan di gedung–gedung membeli-belah atau di pasar-pasar. Kadang-kadang si ibu diekori oleh dua atau tiga orang anak. Ibu, abang atau kakak yang menjaga adik mungkin keletihan dan terlalai mata memandang.
Dalam sebuah kota yang besar ada pelbagai bentuk dan jenis manusia. Lagi besar kota itu lagi bermacam-macam jenis perangai manusia. Letih dan lalai ini akan menjemput kehadiran pelbagai bentuk manusia ini untuk mengambil kesempatan.
Orang ramai pasti bersimpati bersama keluarga Yin. Mereka pasti dapat merasakan trauma si ibu dan ayah yang anak mereka telah hilang. Bayangkan sesalan yang datang berganda-ganda memikirkan kenapa anak kecil ini dibawa ke bandar pada hari itu. Pertanyaan juga akan timbul kenapa ini terjadi dan kenapa anak mereka yang hilang. Apa silap dan kesalahan mereka sehingga anak mereka hilang. Semua ini pasti muncul dalam hati kecil keluarga ini.
Saya menulis kesah ‘hilang’ ini dengan harapan berita kehilangan Yin ini akan berakhir dengan berita gembira. Jika tidak, saya akan melihat Sogo sama seperti saya melihat rumah kawan saya di sebelah jalan panggung wayang di pekan Kuala Klawang. Hingga ke hari ini setiap kali saya melintasi jalan ini saya akan terkenang kepada adik kepada kawan saya yang telah hilang semenjak tahun 1957. Memang betul, mata saya berat apabila memandang rumah itu tetapi berat lagi bahu yang memikul kehilangan anggota
keluarga mereka.
NOTA : Tulisan ini disiapkan minggu lalu sebelum Yin di temui. Kini Yin telah ditemui kembali.
No comments:
Post a Comment