Isu Rasuah - Jadi.. tak jadi.. jadi balik ke?

Bagitulah halnya dengan cadangan hendak memanggil Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Zulkifli Mat Noor dan bekas Pengarah BPR Sabah Ramli Manan yang mendakwa bekas bosnya itu rasuah dan lakukan jenayah seks memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti.


Sesi itu sepatutnya diadakan Khamis ini.Asalnya ia dijadual diadakan pada 12 Mac lalu tetapi dibatalkan oleh Pengerusinya Tan Sri Benard Dompok. Berikutan protes Ketua Pembangkang Lim Kit Siang satu mesyuarat jawatankuasa itu diadakan pada 12 Mac dan memutuskan menerusi undi majoriti mahu ia diadakan.

Selasa Benard Dompok yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengadakan semula satu mesyuarat dengan jawatankuasa berkenaan di bangunan Parlimen dimana keputusan dibuat untuk membatalkannya.

Benard Dompok memberitahu para wartawan keputusan terbaru ini dibuat mengambil kira kenyataan peguam bekas Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam,Datuk Shafie Abdullah bahawa kenyataan yang dibuat oleh Ramli menyentuh anak guamnya dianggap menghina mahkamah.

Semasa menjadi Pengarah BPR Sabah Ramli mengetuai siasatan keatas kes Kasitah.

Kasitah kini sedang melalui kes mahkamah atas dakwaan pecah amanah.

Ramli baru-baru ini antara lain mendakwa beliau ditukarkan dari Sabah ke ibupejabat di Kuala Lumpur selepas membuat siasatan keatas Kasitah.Dakwannya semasa di ibupejabat beliau kena 'peti sejuk' iaitu tidak diberi apa-apa tugas serta tidak ada mejapun.

Dalam pada itu Ramli juga mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Zulkifli dan lima lagi kerana didakwa memfitnah serta menahan pembayaran pencen dan faedah persaraan beliau sejak tahun lalu.Turut disaman ialah akhbar The Star.

Menurut Benard Dompok jawatankuasa berkenaan merasakan tidak wajar memanggil kedua mereka memberi keterangan sehingga kes Ramli dan Kasitah di mahkamah selesai.- 20/3/2007

-------------------------------

Tak Jadi…dan jadi balik

Asalnya Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkifli Mat Noor dan bekas Pengarah BPR Sabah Ramli Manan dijadual memberi keterangan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti di bangunan Parlimen pagi ini.

Namun Khamis lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri ,Tan Sri Benard Dompak yang juga pengerusi jawatankuasa itu keluarkan satu kenyataan tiga perenggan mengumumkan sesi itu dibatalkan.

Ini membuatkan salah seorang ahli jawatankuasanya,Lim Kit Siang membantah.

Dakwanya Benard Dompok buat keputusan sendiri batalkan sesi mendengar penjelasan dari kedua mereka mengenai isu dakwaan rasuah dan jenayah seks keatas Zulkifli.

Berikutan bantahan itu Benard Dompok memanggil mesyuarat jawatankuasa itu di bangunan Parlimen pagi ini.Mesyuarat itu memutuskan untuk terus mengadakan sesi berkenaan.

Zulkifli dan Ramli akan memberi keterangan mereka pada Khamis 22 Mac ini.

Benard Dompok memberitahu sidang akhbar lepas mesyuarat selama sejam setengah itu bahawa majoriti dari ahli jawatankuasa seramai 12 orang itu berpendapat sesi penerangan berkenaan tidak subjudice kepada kes mahkamah.

Rabu lalu Ramli mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Ketua Pengarah BPR itu dan lima lagi kerana didakwa memfitnah serta menahan pembayaran pencen dan faedah persaraan beliau sejak tahun lalu.Turut disaman ialah akhbar The Star.

Menteri itu mengakui keputusan pembatalan Khamis lalu dibuatnya hanya menerusi perbincangan tidak rasmi dengan rakan-rakan ahli parlimen saja.

Katanya terdapat bantahan keputusan itu dibuat tidak menerusi mesyuarat jawatankuasa berkenaan dan sebab itu mesyuarat hari ini diadakan.- 12/3/2007

--------------------

Jawatankuasa Integriti nak kaji semula keputusan batal pertemuan

Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti tetap akan adakan mesyuarat Isnin ini sekalipun tanpa kehadiran Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkifli Mat Noor dan bekas Pengarah BPR Sabah Ramli Manan.

Ia bertujuan mengkaji semula keputusan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana MenterTan Sri Benard Dompak yang juga pengerusi jawatankuasa itu Khamis untuk membatalkan sesi beri keterangan kedua mereka pada hari itu.

Salah seorang ahli jawatankuasa itu, Lim Kit Siang berkata Jumaat satu notis rasmi telah dikeluarkan mengenai keputusan terbaru itu.

Ketua Pembangkang itu sebelum ini telah mempersoalkan keputusan membatalkan jemputan kepada Zulkifli dan Ramli memberi keterangan kepada jawatankuasa itu.- 9/3/2007

-----------------------------

Pertemuan yang dinanti-nantikan Isnin ini batal

Semua orang kini perlu menunggu hasil siasatan polis untuk mengetahui lebih lanjut apa cerita kes dakwaan rasuah terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Zulkipli Mat Noor.

Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti Khamis telah membuat keputusan membatalkan jemputan kepada Zulkipli dan orang yang membuat dakwaan terhadapnya iaitu bekas pengarah BPR Sabah, Ramli Abdul Manan untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa itu yang dijadualkan Isnin ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan menerusi satu kenyataan tiga perenggan.

Katanya keputusan itu dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini mengenai beberapa pertuduhan yang dibuat oleh Ramli terhadap Zulkipli.

"Siasatan mengenai tuduhan itu kini dijalankan dan ditangani oleh pihak polis dan pejabat Peguam Negara. Pada masa yang sama, Ramli telah memfailkan saman terhadap enam pihak (termasuk Ketua Pengarah BPR) berkaitan perkara yang sama.

"Justeru, berlandaskan keputusan majoriti, jawatankuasa hari ini memutuskan untuk membatalkan jemputan kepada Ramli dan Zulkipli memberi keterangan pada 12 Mac ini," kata Dompok.

Kedua-dua Zulkifli dan Ramli telah menyatakan persetujuan mereka untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa itu.Ramli telah membuat dakwaan rasuah dan jenayah seks terhadap Zulkifli.

Ramli antara lain mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan pendapatannya di mana beliau didakwa memiliki beberapa kepentingan dalam pelbagai perniagaan dan hartanah termasuk enam buah rumah di Pagoh, Johor dan menyalahgunakan kenderaan kerajaan.

Rabu Ramli mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Ketua Pengarah BPR itu dan lima lagi, kerana didakwa memfitnah serta menahan pembayaran pencen dan faedah persaraan beliau sejak tahun lalu.

Turut disaman ialah akhbar The Star.

Keputusan memanggil kedua mereka memberi keterangan dibuat oleh jawatankuasa itu pada mesyuarat 28 Februari lalu sejurus meletus isu dakwaan Ramli.

Dalam perkembangan berkaitan salah seorang ahli jawatankuasa itu,Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang telah mempertikaikan pembatalan sesi memberi keterangan itu.

Katanya dalam satu kenyataan beliau tidak tahu menahu mengenai keputusan itu sehingga jam 4.40 petang bila diberitahu menerusi telefon oleh seorang pegawai Parlimen.

Ketua Pembangkang di parlimen itu berkata tindakan Ramli menyaman beberapa pihak dalam kes itu tidak harus dijadikan alasan kerana jawatankuasa itu bukan sebuah mahkamah tetapi mempunyai tanggongjawab khas untuk menangani masalah intregeti dalam BPR.

Sementara itu Bernama melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai berkata siasatan polis terhadap Zulkipli kini tertumpu pada aspek mengimbangi kenyataan Ramli dan pemilikan harta Ketua Pengarah BPR itu dalam tempoh 10 tahun.

Katanya siasatan polis memerlukan sedikit masa kerana polis terpaksa membongkar kes, yang pernah dilaporkan, 10 tahun dahulu.

“Bukan mudah untuk menelusi fakta-fakta kes yang backdated. Lagipun pasukan khas kami dianggotai tiga pegawai, jadi mereka memerlukan masa dalam memastikan tiada fakta tercicir,” katanya.

Di Pusat Latihan Polis Air Hitam Jempol dekat Bahau Khamis para wartawan yang membuat liputan Majlis Perbarisan dan Tamat Latihan Asas Penyiasat BPR di situ gagal mendapat sebarang ulasan dari Zulkifli mengenai isu dakwaan terhadapnya.

Sejurus tamat majlis, kira-kira 10 orang petugas media tempatan yang membuat liputan majlis itu pada mulanya diminta bersedia untuk sidang akhbar di bilik lain di pejabat Komandan Kem.

Sedangkan Zulkipli dan pegawai kanan BPR lain berehat di bilik tetamu yang terletak bersebelahan.

Selepas beberapa minit menunggu, muncul Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (APRM) iaitu Penolong Kanan Pesuruhjaya II R. Rathakirushnan untuk memberikan kenyataan.

Namun, yang sebenarnya ditunggu ialah Zulkipli dan pihak media telah meminta kebenaran daripada beberapa pegawai bertugas untuk bertemu dan memaklumkan kepada Zulkipli yang mereka mempunyai beberapa soalan yang perlu diajukan kepadanya.

Zulkipli kemudiannya muncul di pintu bilik berkenaan dan menerangkan beliau tidak ada apa ulasan yang hendak diberikan kerana fokus pada majlis itu.

"Tak ada, tak ada. Saya tak nak komen apa-apa. Sebab ini majlis tamat latihan dan fokus itu di situ," katanya.

Beliau terus berlalu sambil menjemput media untuk menikmati jamuan makan yang disediakan .- 8/3/2007

No comments: