Hijrah Ke Arah Membina Tamadun Baru


Written by Ustaz Nik Muhammad Nasri

Semenanjung Tanah Arab berada di dalam kegelapan jahiliah sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw. Walaupun Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pernah datang membina Kaabah di Mekah yang menjadi simbol Tauhid kepada Allah, tetapi selepas beberapa kurun mereka wafat, masyarakat Arab kembali menyembah berhala.

Bukan sahaja berhala dalam bentuk iktikad kepercayaan, bahkan ia memberi implikasi ‘keberhalaan’ dalam kehidupan. Kebendaan menjadi matlamat. Kezaliman menjadi sikap. Penindasan menjadi tabiat. Kesesatan menjadi ieologi sebati dalam hidup keberhalaan mereka. Nampaknya Kaabah sebagai suatu bangunan sahaja, atau dengan kata lain-‘projek membina sebuah rumah Allah’ sahaja tidak dapat membangunkan kemanusiaan bertamadun. Manusia perlu kepada sistem yang mengatur, mengembalikan mereka ke pangkal jalan, bukan hanya melalui kemajuan kebendaan, tetapi kemajuan kemanusiaan.

Nabi Muhammad saw lahir di tempat yang paling berstrategik di atas mukabumi. Walaupun Mekah tandus, kering kontang tetapi di situlah bermulanya suatu proses mengembalikan manusia kepada fitrahnya.

Mekah dan Madinah berbeza dari pusat tamadun lain. Tamadun lama Mesopotamia, China, India, tamadun kuno Mesir dan lain-lain tamadun biasanya lahir dan berkembang di pesisiran pantai. Namun tidak begitu bagi tamadun Islam. Ia bermula sebagai suatu mukaddimah di tanah kering Mekah. Begitupun, mengikut sesetengah sarjana, Mekah sebagai tempat kelahiran Nabi Muhammad saw dan tempat bermulanya turun wahyu, juga sebagai tempat bermulanya Nabi memerangi jahiliah, tidak sesuai untuk sebuah peradaban.

Tanah baru yang lebih subur untuk sebuah tamadun dalam ertikatanya yang sebenar harus dicari. Habsyah, Taif dicuba oleh Nabi saw. Akhirnya Allah menentukan bahawa Yathrib menjadi tempat terbaik untuk sebuah tamadun baru. Adakah Yathrib disediakan oleh Allah secara percuma kepada Nabi? Tidak! Ia melalui proses awal penyediaan manusia yang bersedia menerima Nabi. Aus dan Khazraj lebih awal berbaiah dan berjanji setia dengan Nabi saw. Mereka bersedia untuk mengorbankan segalanya hanya untuk Nabi dan Islam. Mus’ab bin Umair dihantar oleh Nabi sebagai pendakwah untuk menyampaikan Islam sehingga tidak ada rumah di Yathrib yang tidak mendengar tentang Nabi Muhammad saw dan Islam.

Dengan kata lain, Nabi telah menyediakan prasarana yang cukup dan suasana yang kondusif untuk membina sebuah tamadun baru di Yathrib. Pembinaan itu bukan seperti ‘projek membina Kaabah’ di Mekah tetapi membina manusia yang menolak jahiliah dan menerima Islam sepenuhnya.

Demikianlah, kalau umat Islam kini mahu membina dan memahat tamadun baru, mestilah bermula dari manusia dahulu. Modal insan mesti digembeling dengan sungguh-sungguh untuk menerima Islam dan menolak jahiliah dan keberhalaan dalam hidup, barulah mereka akan kembali menjadi seperti generasi awal yang bersedia berhijrah untuk membina tamadun baru tersebut di Yathrib yang kemudiannya ditukar oleh Nabi menjadi al-Madinatul Munawwarah-‘bandar yang penuh bercahaya dengan iman’, satu nama yang penuh bererti dengan sifat tamadun baru tersebut.

No comments: