Lebih baik hantar anak ke penjara jika tak mampu sambung belajar?

Oleh Rozmal bin Malakan

Pada 2006 kerajaan Malaysia membelanjakan RM1,274,490 (RM1.27 juta) sehari bagi menampung perbelanjaan penghuni-penghuni di penjara di seluruh negara. Perbelanjaan itu adalah untuk 42,483 orang tahanan di semua institusi penjara termasuk di Depot Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin. Ini bermakna sebanyak RM465,188,850 RM 465 juta) setahun wang rakyat digunakan untuk menampung perbelanjaan penghuni-penghuni penjara.



Kos-kos yang terpaksa ditanggung kerajaan tidak termasuk kos perubatan itu adalah meliputi kos pengurusan harian dan kos pemulihan. Kos pengurusan harian ialah makan dan minum, penyediaan tempat tahanan, penggunaan air dan elektrik, penyediaan pakaian, perkhidmatan dobi dan tenaga kawalan manakala kos pemulihan meliputi latihan vokasional, kebajikan, program kaunseling, ceramah agama, kemudahan perpustakaan, perjumpaan keluarga dan urusan surat menyurat.

Sementara itu untuk menanggung warga negara yang sanggup meracun diri sendiri dan masa depan mereka yang ditempatkan di pusat serenti, kerajaan terpaksa membelanjakan RM500,000 sehari bersamaan dengan RM182,500,000 (RM182 juta) setahun. Ini diambil kira dengan adanya 28 pusat serenti di seluruh negara yang menempatkan sekitar 10,000 pelatih bagi satu-satu masa dengan jumlah tanggungan untuk seorang penagih yang dirawat di pusat serenti sebanyak RM50 setiap hari.)

Ini bermakna sejumlah RM647,688,850 (RM647 juta) setahun dibazirkan begitu sahaja untuk memulihkan serta mengasingkan para banduan, tahanan dan penagih dadah agar mereka dapat kembali ke pangkuan
masyarakat.

Dengan wang sebanyak RM647 juta ini sepatutnya boleh diberikan secara percuma kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di IPTA atau IPTS. Menurut maklumat dari laman web PTPTN, bagi pelajar IPTA, jumlah pinjaman yang diluluskan adalah antara RM1,000 hingga RM6,500 setahun. Manakala bagi pelajar IPTS, jumlah pinjaman adalah antara RM3,700 hingga RM20,000 setahun.



Ini bermakna dengan RM647 juta ini boleh menampung pembelajaran sekurang-kurangnya 32,384 orang pelajar dan paling ramai sebanyak 647,688 orang pelajar setahun. Ini bermakna semua lulusan SPM dan STPM di Malaysia ini akan dapat menikmati pembelajaran peringkat tinggi secara percuma.


Dalam pada itu kerajaan baru-baru ini telah mewajibkan ibu bapa untuk mempunyai simpanan wang dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) berkuatkuasa 1 Januari tahun depan sebelum anak mereka layak memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN).

Simpanan wajib adalah sebanyak RM3,000 bagi keluarga yang berpendapatan bulanan melebihi RM2,000 sebulan. Ibu bapa yang berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan pula wajib menyimpan RM500.

Melihat senario di atas, ibu bapa yang ada kemampuan mungkin telah memulakan tabungan untuk membiayai pembelajaran anak-anak mereka di peringkat tinggi. Tapi bagaimana pula dengan ibu bapa yang kurang
berkemampuan serta pencapaian akademik anak-anak mereka tidak membolehkan mereka untuk mendapatkan biasiswa. Mahu tidak mahu mereka terpaksa membuat pinjaman atau melepaskan sahaja anak mereka ke alam pekerjaan.

Baru-baru ini Buletin Utama TV3 ada menyiarkan bagaimana pendekatan Islam Hadhari yang digunakan untuk membimbing para-para banduan telah dapat memulihkan para banduan, dengan adanya kuliah agama,
kuliah tafsir, kuliah sirah nabi dan beberapa siri kuliah agama.

Sekiranya penjara, pusat tahanan serta pusat serenti di Malaysia ini dapat memberikan pendidikan agama yang sempurna disokong dengan pengajian vokasional serta teknikal serta lain-lain kemahiran di Malaysia, apakah akan ada ibu bapa yang terdetik di hati mengatakan adalah lebih baik menghantar anak ke penjara sekiranya tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran?

Apakah dugaan yang menimpa rakyat Malaysia sekarang ini yang menyebabkan masalah banduan, PATI, penagih dadah tidak dapat dikurangkan apatah lagi untuk mensifarkannya?

No comments: